Blog ini, manifestasi minat saya terhadap anime. Saya sukakan anime kerana cerita yang kreatif, olahan animasi yang cantik dan muzik yang membuai rasa
Nota : ULASAN ADALAH PANDANGAN PERIBADI
Portal Suara Belia Malaysia
Senarai AnimeBasilisk Bubblegum Crisis Tokyo 2040 Card Captor Sakura Chobits Cowboy Bebop Detective School Q DN Angel Elemental Gelade Fruits Basket Gankutsuou Get Backers Ghost in the Shell God(?) Save Our King! ( Kyou Kara Maou) Hell Girl Last Exile Loveless Macross II : Lovers Again Melancholy of Haruhi Suzumiya My Hime My Otome Natsume Yuujinchou Neon Genesis Evangelion Nodame Cantabile Ouran High School Host Club Prince of Tennis, The Princess Princess Rahxephon Robotech Scrapped Princess Shakugan no Shana Trinity Blood Tsukihime, Lunar Legend Twelve Kingdoms, The Vision of Escaflowne, The Witch Hunter Robin Wolf's Rain X Zombie Loan
|
|
|
 |
|
Saturday, August 22, 2009
Natsume Yujinchou (Natsume and The Book of Friends)
Takashi Natsume mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk halus (ayakashi) di sekitarnya. Apabila berpindah ke kampung mendiang neneknya, Reiko, dia kerap diburu makhluk ghaib sehinggalah dia bertemu dengan makhluk ghaib bernama Madara. Madara memberitahunya bahawa mendiang neneknya juga mempunyai kebolehan yang sama dengannya. Neneknya juga mempunyai 'The Book of Friends' yang mengandungi senarai nama makhluk halus yang ditewaskan dan mengikat perjanjian menjadi orang bawahan neneknya. Selagi nama makhluk halus itu masih tertera pada buku itu, makhluk itu akan tertakluk kepada perintah kepada tuan punya buku.
Situasi itu membuatkan Natsume menjadi buruan makhluk halus lain yang mahu menjadi memiliki buku tersebut. Natsume, yang mempunyai buku tersebut mengikat perjanjian dengan Madara; iaitu Madara akan menjadi penjaganya demi mengelakkan buku itu jatuh ke tangan makhluk ghaib yang lain dan pada masa yang sama, membantunya membebaskan makhluk yang mengikat perjanjian dengan mendiang neneknya. Sebagai balasan, buku itu akan menjadi milik Madara apabila dia meninggal kelak.
 Takashi Natsume dan Madara Nyanko Sensei
Watak utama anime arahan Takahiro Omori ini adalah seorang remaja lelaki yang boleh melihat makhluk halus, sedangkan orang lain tidak dapat melihat makhluk itu. Namun, cerita anime ini bukan cerita watak itu menyelamatkan dunia, tetapi cerita bagaimana dia belajar mengenali dunia sekitarnya dan juga dirinya berdasarkan interaksinya dengan makhluk ghaib itu.
Ini ialah cerita bagaimana dia mengenali dan meneroka kelebihan dan kelemahan dirinya. Juga belajar menyayangi dan disayangi. Belajar menghargai diri, hidup dan orang sekelilingnya. Belajar menerima dan memberi kembali. Dan selagi interaksinya dengan makhluk halus itu berterusan, dia akan terus mempelajari kehidupannya dan persekitarannya.
Apabila menyebut makhluk ghaib, sesetengah audiens mungkin akan membayangkan anime ini adalah sebuah cerita seram dan menakutkan. Bermakna ada hubungan yang tidak menyenangkan antara watak utama dengan makhluk ghaib yang ditemuinya sepanjang jalan cerita yang berbentuk episodik ini. Namun sebaliknya, anime ini lebih banyak memaparkan hubungan yang harmoni antara Natsume (manusia) dengan mahkluk ghaib tersebut. Ini menjadikan anime ini sebuah cerita yang mudah tetapi segar apabila dipenuhi dengan emosi.
Interaksi aman antara Natsume dan makhluk ghaib diperkukuhkan lagi dengan latar anime ini yang mengambil tempat di sebuah kampung yang aman; di mana penduduk setempat bukan setakat mempercayai kewujudan unsur ghaib tetapi juga menyembah unsur ghaib tersebut.
 Shuici Natori Ningyo Ayakashi
Dari satu sudut, keharmonian ini turut menyembunyikan anomalinya sendiri. Seorang remaja yang tersisih daripada hubungan sesama manusia menemui persahabatan dan keyakinan daripada kalangan makhluk ghaib. Masyarakat dunia umumnya selalunya melihat interaksi dengan makhluk ghaib adalah hubungan yang penuh dengan ketegangan kerana pertentangan kepentingan antara kedua-duanya. Bagaimanapun, situasi ini diperjelaskan pada akhir musim kedua di mana Natsume menegaskan bahawa kawan dari kalangan manusia dan makhluk ghaib adalah sama penting baginya. Dia melihat keupayaannya; untuk melihat dan berinteraksi dengan makhluk ghaib dan membantu sekiranya diminta; adalah sebagai satu tanggungjawab. Tanggungjawab ini pula menjadikannya sebagai seorang manusia yang memahami kemahuan alam.
Apa yang menjadi persoalan ialah, adakah makhluk ghaib yang dipaparkan dalam anime tersebut adalah makhluk ghaib yang wujud dalam kepercayaan masyarakat Jepun. Sekiranya ya, anime ini boleh diibaratkan sebagai sebuah dokumentasi budaya Jepun dan ini memberikan nilai tambah kepada anime ini. Dengan itu, anime ini sewajarnya mengambil peluang untuk mengengahkan butiran mengenai makhluk tersebut dengan lebih terperinci, tidak hanya bercerita mengenai interaksi Natsume dengan makhluk ghaib.
Tanggapan pertama apabila menonton anime ini ialah ia dihasilkan dengan cantik dengan plot cerita yang mudah. Tiada sebarang perbezaan yang ketara antara musim pertama dan kedua kerana ia tetap berkisar kepada interaksi antara Natsume-makhluk ghaib. Tetapi kesan interaksi tersebut yang menjadikan watak Natsume sebagai seorang remaja yang menyedari akan peranan dirinya sebagai seorang manusia adalah intipati yang perlu diperhatikan.
Anime ini memberikan kemenangan Best Actor/Pelakon Lelaki Terbaik dan juga Best Supporting Actor/Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik kepada dua seiyu utamanya dalam Seiyu Award kali ketiga.
Pelakon suara : Hiroshi Kamiya (Takashi Natsume), Kazuhiko Inoue (Madara/Nyanko Sensei) Penampilan : Akira Ishida (Shuichi Natori), Sanae Kobayashi (Reiko Natsume), Kazuma Horie (Kaname Tanuma), Miyuki Sawashiro (Sasada Jun) Penerbitan : Brain's Base
Posted at 12:22 pm by Iwana
Permalink
Monday, April 13, 2009
Michiru Kita mempunyai kelebihan yang dipanggil 'Eye of Shinigami'. Kelebihan ini membolehkan dia melihat tanda yang berbentuk cincin di leher seseorang. Cincin yang berwarna hitam pekat menandakan bahawa ajal orang itu telah tiba. Tanda itu dapat dilihatnya pada leher dua orang pelajar lelaki sekolahnya iaitu Shito Tachibana dan Chika Akatsuki. Anehnya, kedua-dua mereka masih belum mati.
Dia kemudiannya mengetahui yang kedua-duanya mempunyai kontrak aneh dan hidup sebagai zombi serta bekerja untuk Z–Loan bagi menangkap zombi haram yang berkeliaran di kalangan manusia. Dia akhirnya menjadi sebahagian daripada tenaga kerja Z–Loan itu sendiri setelah terhutang nyawa kepada kedua-dua mereka.
Shito Tachibana dan Chika Akatsuki Michiru Kita
Anime 11 episod ini merupakan adaptasi daripada karya duo mangaka Banri Sendo dan Shibuko Ebara yang bergelar Peach-Pit, dan diarahkan oleh Akira Nishimori.
Jalan ceritanya bergerak di sekitar tiga watak utamanya yang mempunyai keunikan, personaliti dan masalah peribadi yang tersendiri. Semua watak ini berpotensi untuk dikembangkan dengan lebih baik dan mendalam sekiranya anime ini disambung.
Pengarah anime mengetahui di mana hendak memasukkan mood komedi yang menghiburkan dan kemudiannya digantikan mood serius yang dramatik. Bahagian plot yang menarik ialah pada pengakhiran anime ini. Ia adalah episod yang cukup kukuh yang mampu berdiri sebagai sebuah cerita yang tersendiri.
Ilustrasi anime ini agak kasar, tanpa perincian yang teliti tetapi mempunyai pewarnaan yang baik kerana dapat memberikan imej suram yang bersesuaian dengan jalan cerita.
Bagi audien yang melihat dengan lebih jauh akan menyedari simbolik di sebalik kewujudan zombi ini. Sekalipun terdapat dua jenis zombi dalam cerita ini, iaitu zombi haram dan zombi sah, kewujudannya dihasilkan oleh dua buah organisasi daripada World Fate Organisation. Zombi haram atau zombi jahat wujud kerana manusia itu sendiri memilih untuk memiliki kehidupan yang jelik selepas kematiannya. Zombi baik terhasil kerana manusia inginkan peluang kedua untuk memperbaiki kehidupannya.
Jadi, apa yang ingin dipaparkan di sini? Adakah anime ini ingin memaparkan bahawa penentu takdir, iaitu Tuhan sedang 'bermain-main' dengan kehidupan manusia sebagai sebuah barang mainan? Atau juga 'Dia' ingin memperlihatkan bahawa pilihan untuk menjadi baik dan jahat adalah terletak pada manusia itu sendiri?
Kerana itu, anime ini berhutang penjelasan ini kepada para audiens.
Pelakon suara : Kenichi Suzumura (Chika Akatsuki), Takahiro Sakurai (Shito Tachibana), Houko Kuwashima (Michiru Kita), Toshiyuki Morikawa (Bekko), Chiwa Saito (Yuuta), Kana Ueda (Koyomi Yoimachi) Penampilan : Saori Goto (Shimotsuki Kuze), Junichi Suwabe (Shiba Reiichiro), Satsuki Yukino (Carmella), Takanori Hoshino (Otsu Sawatari), Kentarô Itô (Sotetsu Aso) Penerbitan : Xebec M2
Posted at 10:59 am by Iwana
Permalink
Saturday, May 17, 2008
Anime arahan Hideaki Anno, mengambil latar tahun 2015, di mana Bumi ketika itu dalam keadaan terjejas teruk akibat kejadian yang dinamakan Second Impact, yang dilaporkan sebagai kejadian meteor terhempas di Antartik. Kesan daripada hempasan meteor itu membuatkan ais mencair menyebabkan air laut meningkat sehingga menenggelamkan sebahagian besar daratan, sekaligus mengubah pola geopolitik Bumi; bahkan paksi Bumi berganjak sehingga mengubah struktur cuaca.
Pada waktu ini, organisasi SEELE telah meramalkan kedatangan dan ancaman makhluk yang bernama Angels ke atas manusia. Untuk menangani ancaman itu, organisasi separa tentera NERV ditubuhkan dan mecha yang dinamakan Evangelion menjadi senjata utama mereka.
Jalan cerita anime ini bermula dengan kehadiran Shinji Ikari anak lelaki komander NERV, Gendo Ikari ke bandaraya militari Tokyo-3, ketika kemunculan serangan Angel seperti yang diramalkan oleh SEELE berpandukan Skrol Laut Mati.
 Shinji Ikari Evangelion
Neon Genesis Evangelion mungkin tampil seperti sebuah anime yang mudah pada awalnya kerana ia memaparkan kisah mecha dan perjuangan manusia bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Tetapi anime ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana mempunyai pelbagai lapisan dalam jalan ceritanya, dan kegagalan memahami salah satu lapis tersebut akan membawa kepada kekaburan pemahaman. Tetapi sekalipun memahami semua lapisan, masih ada persoalan yang mungkin akan terlintas di fikiran audiens.
Lapisan atas jalan cerita anime ini bercerita tentang perjuangan manusia menentang ancaman Angel. Ini merupakan lapis yang mudah difahami, memandangkan ini yang dipaparkan dalam setiap episod sepanjang jalan cerita.
Apabila semua ancaman Angel dapat ditangani, terdapat kebimbangan bagi sesetengah pihak bahawa ancaman terhadap manusia seterusnya ialah ketidakmampuan manusia untuk terus berevolusi. Ini membawa audiens kepada pemahaman terhadap lapisan kedua anime ini iaitu Human Instrumentality Project yang sentiasa diperkatakan sepanjang jalan cerita anime ini. Projek ini mengandaikan bahawa manusia sudah tidak mampu lagi berevolusi sekaligus kelangsungan hidup manusia kini dalam kesamaran. Untuk memastikan kelangsungan hidup manusia berterusan, projek tersebut diadakan di mana akan menyatukan semua manusia dalam satu entiti tunggal.
Lapisan yang paling tersembunyi bercerita tentang penderitaan jiwa manusia, yang dipaparkan melalui setiap watak. Watak anime ini mempunyai masalah psikologi yang tersendiri, yang mana setiap mereka bergelut dengan masalah tersebut sepanjang jalan cerita. Jika kebanyakan watak utama mana-mana anime adalah watak yang stabil daripada segi emosi, anime ini menampilkan watak utama yang mempunyai emosi yang tidak stabil dan kemahiran sosial yang rendah.
Bahkan watak-watak lain sekitar watak utama ini turut mempunyai kesakitan emosi atau mental yang tersendiri, dan sehingga ke akhir cerita, semua watak bergelut dengan kesakitan ini. Pergelutan masalah ini memainkan peranan dalam menentukan kejayaan Human Instrumentality Project.
 Asuka Langley Shoryu Rei Ayanami Kerana itu, anime ini diterbitkan dengan mempunyai dua alternatif penamat. Alternatif pertama memaparkan penerimaan watak terhadap Human Instrumentality Project, yang dirasakan akan mengeluarkan mereka daripada kesengsaraan diri yang terpendam. Alternatif kedua diterbitkan dengan judul The End of Evangelion memaparkan penolakan Shinji (juga Asuka) terhadap projek tersebut.
Sekalipun audiens memahami semua lapis tersebut, persoalan yang mungkin timbul di fikiran audiens ialah asal-usul Angel. Semua Angel dipaparkan sebagai ingin bersatu dengan Angel terulung, iaitu Adam, di mana penyatuan ini akan mencetuskan Third Impact yang akan menghapuskan manusia dan memulakan dominasi mereka ke atas Bumi. Anime ini membiarkan audiens tertanya-tanya adakah Angel ialah sejenis hidupan yang sememangnya telah wujud di Bumi dan kini dalam proses untuk memulakan evolusi mereka atau merupakan makhluk dari luar Bumi. Tetapi jika jawapan terhadap persoalan ini terjawab sekalipun, audiens mungkin akan tertanya kenapa proses evolusi Angel hanya dapat digerakkan setelah bersatu dengan induk mereka.
Audiens yang kurang memahami juga akan tertanya-tanya mengapa Angel Lilith digunakan sebagai penggerak Human Instrumentality Project, memandangkan Angel disifatkan sebagai ancaman terhadap manusia dan kerana itu, timbul persoalan kenapa mahu menggunakan Angel Lilith untuk kepentingan manusia.  Misato Katsuragi Anggota NERV
Persoalan lain ialah apakah First Impact, memandangkan apabila anime ini menggelar kejadian meteor terhempas di Atlantik sebagai Second Impact. Apakah kejadian First Impact?
Berdasarkan senario Second Impact, yang melibatkan suatu kejadian yang mampu mengubah struktur Bumi, First Impact yang tidak diperjelaskan dalam anime ini mungkin dapat dirujuk kepada giant impact hypothesis yang diperkenalkan dalam satu persidangan pada tahun 1974 dan kemudiannya diterbitkan dalam International Journal of Solar System Studies (ICARUS) pada tahun 1975 oleh Dr. William K. Hartman dan Donald R. Davis. Hipotesis ini merupakan teori pembentukan bulan, yang dikatakan terbentuk hasil daripada pelanggaran antara Bumi dan jasad yang sebesar Marikh, yang dinamakan sebagai Theia.
Buat audiens yang mempunyai sensitiviti agama yang tinggi, anime ini mungkin menjadi karya yang sukar diterima. Tetapi pujian dapat diberikan kepada pengarahnya kerana mampu menghasilkan sebuah anime yang menarik, yang sentiasa menjadi perhatian peminat anime semenjak ia diterbitkan pada tahun 1995.
Pelakon suara : Megumi Ogata (Shinji Ikari), Kitono Mutsuishi (Misato Katsuragi), Megumi Hayashibara (Rei Ayanami), Yoko Miyamura (Asuka Langley Shoryu), Fumihiko Tachiki (Gendo Ikari), Yuriko Yamaguchi (Ritsuko Akagi) Penampilan : Akira Ishida (Kaworu Nagisa), Koichi Yamadera (Ryiji Kaji), Tomokazu Seki (Toji Suzuhara), Takehito Koyasu (Shigeru Aoba), Tetsuya Iwanaga (Kensuke Aida), Hiro Yuuki (Makoto Hyuga) Penerbitan : Gainax; Tatsunoko Production; Production I.G
Posted at 10:05 am by Iwana
Permalink
|
|
|